Aku tidak pernah mengucapkan selamat hari ibu kepada ibu ku. Begitu juga dengan selamat hari jadi. Mungkin kerana aku dibesarkan dalam suasana yang tidak membudayakan itu semua. Mungkin ketika aku sedar ada hari untuk ibu, usia ku sudah menjadi terlalu lanjut untuk aku menghadiahkan sekuntum bunga dan sekotak coklat untuknya. Ketika ibu ku sudah tidak menyentuh makanan yang pada anggapannya akan menambahkan bilangan kolestrol dalam darahnya yang memang sudah banyak kolestrol itu.
Tetapi aku menyayangi dan menyanjungi ibu . Sama seperti anak-anak yang memberi ucapan selamat pada hari ibu kepada ibu-ibu mereka. Dengan segala kudrat aku, aku pastikan perbelanjaan sara hidup yang mencukupi dan aku pastikan beliau cukup segala keperluan kehidupan asasinya. Aku pastikan ibu ku tidak akan menutup mata dengan kesusahan dan kemiskinan lagi.
Ibu ku hidup dengan penuh cabaran. Anak yatim piatu pada usia seawal 10 tahun, beliau merempat dari tangan ke tangan ibu dan bapa saudara yang simpati dan prihatin dengan nasib beliau. Duduk menumpang dalam usia yang sebegitu muda dan terpaksa bekerja membantu kerja-kerja sawah dan lain -lain kerja untuk sesuap nasi. Tiada pelajaran seperti sepupu-sepupu yang ditumpanginya, kurang kasih sayang dan kurang belaian. Hidup dengan disiplin yang ketat dan tiada masa untuk menjadi kanak-kanak.
Trauma ini memberi kesan yang mendalam dalam hidupnya sehingga hari ini. Sentiasa mahu kepastian, sentiasa mahu perhatian , mudah tersinggung , terlalu mendengar cakap cakap orang , tidak tetap dalam membuat keputusan dan takut kepada sesuatu yang tidak pasti. Itu bukan kekurangan beliau, itu kesan langsung dari persekitaran kehidupan zaman anak-anakya. Itu takdirnya.
Tetapi dia membesarkan anak-anaknya dengan baik. Beliau tidak belajar parenting dari sesiapa. Naluri keibuanya memastikan beliau menjaga anak-anak dengan semampu yang boleh. Membesarkan keluarga dalam kemiskinan di Kuala Lumpur bukan kerja mudah. Membesarkan anak-anak dalam persekitaran ibu kota ketika wabak penagihan dadah berleluasa di KL pada tahun 70an amat sukar. Aku membesar dengan tidak menjadi perokok. Itu kerana keazaman ibuku untuk memastikan anaknya tidak terjebak dalam penagihan dadah! Ketika itu, sepupuku (kini arwah) , pada satu masa dalam kehidupannya seorang komposer terkenal, sudah terlibat dengan penagihan dadah.
Bekerja sebagai orang gaji Mat Salleh selama 10 tahun membolehkan dia memahami BI dan boleh berkomunikasi BI dengan tahap yang mencukupi untuk beliau melaksanakan tugasnya. Walau pun tidak disekolahkan dengan tetap, beliau boleh membaca dan menulis jawi dan rumi dengan baik.
Aku membesar sebagai anak yang memberontak. Banyak melawan dan suka bertengkar dengannya. Mungkin kerana aku anak lelaki tunggal, aku dikawal dengan begitu ketat. Mungkin kerana pendedahan generasi yang berbeza, aku melihat kehidupan dengan lensa yang berbeda. Aku mengukur kehidupanku dengan kayu ukur yang berlainan.
Aku mula memahami hakikat kehidupan apabila mula bergelar ayah pada usia 27 tahun. Waktu itu aku menyedari bahawa dia telah menjadi ibu yang baik bagi ku. Aku tidak lagi memandang pada kelemahannya kerana takdir hidupnya yang terlalu sukar. Aku memandangnya sebagai seorang hamba Allah yang telah menjalani kehidupannya dengan redha. Aku tidak lagi mengeluh dengan kerenahnya, kerana bagi aku, setiap saat kehidupanya adalah rahmat TUHAN kepada ku.
Sekalipun aku tidak mengucapkan selamat hari ibu buat mu, aku menyayangi mu mak....
Salam.
ReplyDeletePengorbanan seorang ibu begitu hebat. Tiada lain yang diharapkan seorang ibu melainkan supaya kita hidup bahagia disamping mengambil hatinya.
kasih ibu tidak ternilai....
ReplyDelete