bicara tentang kehidupan dari ruang lingkup seorang hamba yang serba kekurangan

Sunday, June 21, 2009

Selamat Hari Bapa untuk semua bapa

Aku sudah tidak mempunyai bapak untuk ku ucap selamat hari bapa. Bapak ku telah pergi meninggalkan aku sewaktu aku berbaki 6 bulan lagi hendak tamat pelajaran ku. Beliau kemalangan sewaktu balik dari tempat kerja untuk bersembahyang jumaat.

Hakikatnya aku dan bapak tidak berpeluang untuk rapat dalam erti kata 'lelaki dengan lelaki'. Dalam usia semuda 17 tahun aku sudah ke kolej untuk melanjutkan pelajaran. Aku hanya pulang sekali sekala dan dengan jiwa muda aku aku lebih banyak menghabiskan masa dengan rakan sebaya sementara beliau menghabiskan masa di surau (beliau seorang bilal) dengan rakan rakan sealiran beliau.

Aku tidak berkesempatan untuk minum kopi atau teh semeja dengannya. Berbual bual kosong tentang kehidupan aku atau dia atau apa-apa yang sering seronok untuk dibualkan. Hubungan aku dan bapak tak lebih dari seorang anak kecil dengan bapak sahaja. Aku tidak dapat merasa membelanja beliau makan dengan hasil titik peluh ku.

Aku dan bapak tidak pernah bergaduh. Seingat aku beliau juga tidak pernah memukul aku. Malah beliau tidak pernah memukul anak-anaknya. Kerja tersebut terletak ditangan ibu ku. Tangan bapak aku berbisa menurut ibu ku. Entahlah aku tidak sempat mengetahui perkara sebenar.

Ada beberapa perkara yang agak aneh berlaku beberapa waktu sebelum beliau pergi. Pertama ketika aku sembahyang tahajud di kampus, ada lintasan dihatiku yang merasa seolah-olah masa untuk bapak ku pergi telah sampai. Berjijiran airmataku mengalir waktu itu tanpa sebab. Hati ku terasa sangat sebak seolah-olah perpisahan sedang berlaku. Ini berlaku kira-kira dua bulan sebelum kejadian itu.

Perkara aneh yang kedua ialah nama aku sentiasa disebut-sebut oleh ayah ku dua minggu sebelum beliau pergi. Beliau sentiasa bertanya sama ada aku akan pulang pada sabtu sebelum beliau kemalangan. Beliau sentiasa merenung gambar aku . Hari tersebut memang aku merancang untuk pulang, namun suatu hal menyebabkan aku mengubah rancangan ku. Hal yang menjadikan aku sangat terkilan hingga hari ini....

Perkara ketiga yang aneh adalah beliau memakan semua makanan yang pantang bagi beliau sebelumnya. Beliau pantang makan organ dalaman haiwan seperti hati, limpa,paru-paru dll. Minggu sebelum itu beliau membeli sekilo hati lembu dan meminta dibuatkan masakan kari. Takut kempunan katanya. Malam sebelum beliau kemalangan, beliau sangat ceria disurau dan bersalaman dengan semua jemaah dan berbual dengan semua jemaah. Ini cerita rakan baiknya.

Pagi Jumaat sebelum hari kejadian beliau berpesan kepada ibu ku "Cari aku dihospital kalau aku tak balik petang ni" katanya.

Perpisahan yang tiba-tiba memberi impak yang sangat dalam kepada ku. Kerinduan ku kepadanya tidak pernah padam walau sudah 22 tahun berlalu. Malah semenjak aku sendiri menjadi bapa, ketika aku sudah cukup dewasa untuk memahami hati seorang bapa, keinginan ku untuk bertemu dengannya walaupun sekejap begitu menyala-nyala.

Kepada yang masih mempunyai bapa untuk dikasihi, anggaplah tiap hari yang bapa anda masih bernyawa adalah rahmat dan anugerah tuhan kepada anda, kerana sebaik sahaja beliau menutup mata, rindu untuk mencium telapak tanganya akan bermula...

Selamat hari bapa untuk semu bapa...


1 comment:

  1. SEDIH AKU BACA CERITA BERKENAAN AYAH MU. MENGIGATKAN AKU PADA ARUAH IBU YANG MAUT AKIBAT KEMALANGAN JALAN RAYA DI SEGAMAT 15 TAHUN DULU.

    AKU JUGA TAK BERKESEMPATAN MENGUCUP DAHINYA, CUMA DAPAT MELIHAT PUSARA NYA YANG DIKEBUMIKAN DI KAMPUNG HALAMAN KU DI RENGIT, BATU PAHAT.

    AKU CUMA TERLEWAT SAMPAI SETENGAH JAM, AKU TERPAKU DI TEPI PUSARA YANG MASIH MERAH DALAM HUJAN LEBAT BERSAMA GENANGAN AIR MATA YANG LAJU..

    ReplyDelete