bicara tentang kehidupan dari ruang lingkup seorang hamba yang serba kekurangan

Tuesday, June 30, 2009

Keusahawanan satu bidang yang brutal

Sewaktu aku di Sekolah Perniagaan dahulu aku diberitahu bahawa 9/10 dari perniagaan yang dibuka akan bungkus dalam tempoh setahun. Baki yang hidup tu pulak 50% darinya akan tutup dalam tempoh lima tahun.Jika perniagaan tersebut berjaya melepasi angka 10tahun maka ada kemungkinan ianya akan bertahan lebih lama.

Keusahawanan memang sesuatu yang brutal. Bidang ini tiada belas ehsan ..tiada kuota, tiada alasan. Oleh yang demikian untuk berada didalam bidang ini, kita seharusnya mempunyai minda yang lasak, keupayaan yang mencukupi dan kebolehan adaptasi yang luar biasa. Bidang ini tidak memberi kelebihan kepada lulusan Universiti sebaliknya semua perlu bermula dengan keupayaan diri. Kertas ijazah tersebut hanya mengajar kita untuk berfikir sahaja.

Seorang sahabat aku yang berkelulusan MBA pernah membuka perniagaan sendiri tetapi terpaksa tutup kedai dalam beberapa tahun. Tahu apa jawatan beliau kini? PENSYARAH BUSINESS SCHOOL DI UM???? dan menjadi Konsultan kepada Iskandar Malaysia...Ironik bukan?

Wednesday, June 24, 2009

Syair Hamzah Fansuri

1. Aho kita anak Adam
Jangan lupa akan Shahi Alam
Pada bahr al-dhunub jangan terkaram
Supaya 'ashiq siang dan malam

2. 'Ashiqmu itu jangan bercawang
Meninggalkan dunia jangan kepalang
Suluh Muhammad yogya kau pasang
Pada Rabb al-'alamin supaya kau datang

3. Shari'at Muhammad terlalu 'amiq
Cahayanya terang di bayt al-'atiq
Tandanya ghalib lagi sempurna tariq
Banyaklah kafir menjadi rafiq

4. Bayt al-'atiq itulah bernama Ka'bah
Ibadat didalamnya tiada berlelah
Tempatnya maklum di tanah Mekah
Akan qiblat Islam menyembah Allah

5. Aho kita yang membawa iman
Jangan berwaqtu mengaji Al-Quran
Halal dan haram terlalu bayan
Jalan kepada Tuhan dalamnya 'iyan

6. Qu'ran itu ambilkan dalil
Pada mizan Allah supaya thaqil
Jika kau ambil akan syari'at akan wakil
Pada kedua alam engkaulah jamil

7. Kerjakan salat lagi dan sa'im
Inilah ma'na bernama qa'im
Pada segala malam kurangkan naim
Napikan alam kerjakan da'im

8. Ukhrujkan dirimu daripada sayyi'at
Jangan taqsir mengerjakan hasanat
Tuntut olehmu hakikat salat
Supaya wasil adamu dengan Dhat

9. Salat itu terlalu kamal
Di dalamnya liqa' lagi dan wisal
Apabila lenyaplah daripada waham dan khayal
Engkaulah sultan yang tiada bermithal

10. Malak al-mawt terlalu garang
Tiada berwaqtu iya akan datang
Suluh Muhammad yogya kau pasang
Supaya mudah pulang ke sarang

11. Hikmat dan khayal jangan kau cari
Supaya jangan menjadi 'asi
Kerjanya itu sifat nafsani
Tiada dapat sampai kepada rabbani

12. Hikmat dan khayal tinggalkan bapai
Supaya engkau jangan terlalai
Ma'rifat dan haqiqat yogya kau pakai
Itulah amal yang tiada berbagai

13. Hamzah nin asalnya Fansuri
mendapat Wujud di tanah Shahrnawi
Beroleh khilafat ilmu yang ali
Daripada 'Abd al-Qadir Jilani

Sunday, June 21, 2009

Selamat Hari Bapa untuk semua bapa

Aku sudah tidak mempunyai bapak untuk ku ucap selamat hari bapa. Bapak ku telah pergi meninggalkan aku sewaktu aku berbaki 6 bulan lagi hendak tamat pelajaran ku. Beliau kemalangan sewaktu balik dari tempat kerja untuk bersembahyang jumaat.

Hakikatnya aku dan bapak tidak berpeluang untuk rapat dalam erti kata 'lelaki dengan lelaki'. Dalam usia semuda 17 tahun aku sudah ke kolej untuk melanjutkan pelajaran. Aku hanya pulang sekali sekala dan dengan jiwa muda aku aku lebih banyak menghabiskan masa dengan rakan sebaya sementara beliau menghabiskan masa di surau (beliau seorang bilal) dengan rakan rakan sealiran beliau.

Aku tidak berkesempatan untuk minum kopi atau teh semeja dengannya. Berbual bual kosong tentang kehidupan aku atau dia atau apa-apa yang sering seronok untuk dibualkan. Hubungan aku dan bapak tak lebih dari seorang anak kecil dengan bapak sahaja. Aku tidak dapat merasa membelanja beliau makan dengan hasil titik peluh ku.

Aku dan bapak tidak pernah bergaduh. Seingat aku beliau juga tidak pernah memukul aku. Malah beliau tidak pernah memukul anak-anaknya. Kerja tersebut terletak ditangan ibu ku. Tangan bapak aku berbisa menurut ibu ku. Entahlah aku tidak sempat mengetahui perkara sebenar.

Ada beberapa perkara yang agak aneh berlaku beberapa waktu sebelum beliau pergi. Pertama ketika aku sembahyang tahajud di kampus, ada lintasan dihatiku yang merasa seolah-olah masa untuk bapak ku pergi telah sampai. Berjijiran airmataku mengalir waktu itu tanpa sebab. Hati ku terasa sangat sebak seolah-olah perpisahan sedang berlaku. Ini berlaku kira-kira dua bulan sebelum kejadian itu.

Perkara aneh yang kedua ialah nama aku sentiasa disebut-sebut oleh ayah ku dua minggu sebelum beliau pergi. Beliau sentiasa bertanya sama ada aku akan pulang pada sabtu sebelum beliau kemalangan. Beliau sentiasa merenung gambar aku . Hari tersebut memang aku merancang untuk pulang, namun suatu hal menyebabkan aku mengubah rancangan ku. Hal yang menjadikan aku sangat terkilan hingga hari ini....

Perkara ketiga yang aneh adalah beliau memakan semua makanan yang pantang bagi beliau sebelumnya. Beliau pantang makan organ dalaman haiwan seperti hati, limpa,paru-paru dll. Minggu sebelum itu beliau membeli sekilo hati lembu dan meminta dibuatkan masakan kari. Takut kempunan katanya. Malam sebelum beliau kemalangan, beliau sangat ceria disurau dan bersalaman dengan semua jemaah dan berbual dengan semua jemaah. Ini cerita rakan baiknya.

Pagi Jumaat sebelum hari kejadian beliau berpesan kepada ibu ku "Cari aku dihospital kalau aku tak balik petang ni" katanya.

Perpisahan yang tiba-tiba memberi impak yang sangat dalam kepada ku. Kerinduan ku kepadanya tidak pernah padam walau sudah 22 tahun berlalu. Malah semenjak aku sendiri menjadi bapa, ketika aku sudah cukup dewasa untuk memahami hati seorang bapa, keinginan ku untuk bertemu dengannya walaupun sekejap begitu menyala-nyala.

Kepada yang masih mempunyai bapa untuk dikasihi, anggaplah tiap hari yang bapa anda masih bernyawa adalah rahmat dan anugerah tuhan kepada anda, kerana sebaik sahaja beliau menutup mata, rindu untuk mencium telapak tanganya akan bermula...

Selamat hari bapa untuk semu bapa...


Wednesday, June 17, 2009

Cerita jalan-jalan cari makan...

1. Pagi-pagi aku temankan sahabat aku untuk satu sesi taklimat dan lawatan tapak untuk satu kerja membina kuarters di Sg Buloh. Tender untuk kontraktor kelas A. Memandangkan aku agak lapang aku pun setujulah. Nak merasa macam mana kontraktor kelas A punya taklimat. Mula-mula aku tengok ada 2-3 orang je..setengah jam kemudian jadi 3x ganda. Akhirnya aku tengok ada dekat 100 kontraktor! Wow macam kelas F pulak aku rasa!Laaa..banyaknya kontraktor kelas A kat KL!

2. Tengah hari aku dapat panggilan dari sahabat aku yang pernah aku cerita dulu...yang 2 tahun tak de keje tu...syarikat dia dapat pakej ransangan membaiki sekolah dalam 90k. Gomen terus panggil dan ambil inden. Gomen dah bagi siap-siap keje dengan kadar harga sekali. Tapi sipolan ni pulak bagi tau aku keje tak boleh buat dengan harga yang gomen bagi! gitu pulak jadinya..tak ada keje komplen dan dapat keje komplen! Aku tengok ok je..itulah masalahnya bila dapat keje nak sub kat orang.






Tuesday, June 9, 2009

pakej yang tidak dirangsang dengan betul...akan menjadi pakej gersang


Salam bahagia...agak lama juga blogger ini tidak menjenguk ke alam maya. Kesibukkan mengejar kehidupan dan mengendalikan apa yang sudah diamanahkan oleh pelanggan termasuk mendepani masalah-masalah biasa menguruskan projek menyebabkan tidak cukup masa dan upaya untuk menitipkan buah fikiran dan pandangan.


Bagi yang bergelar usahawan terutama didalam bidang pembinaan, waktu begini adalah waktu yang sibuk sedikit kerana banyak kerja-kerja sedang ditenderkan, dalam proses di award atau implementasi. Tambahan dalam keadaan ransangan-ransangan yang sedang berjalan ini, maka banyaklah yang teransang...tak gitu kontraktor wibawa? (beliau selalu mengeluh tak dapat ransangan mencukupi...)


Tapi apa yang aku ingin titipkan disini ialah walaupun niat kerajaan ini mulia mau merangsang ekonomi negara, tetapi pada pandangan aku ialah cara ia dihebahkan tidak dibuat dengan betul, akibatnya ia menjadi pakej ransangan tertutup.


Masalah aku sekarang ialah hanya beberapa orang atau beberapa kumpulan sahaja yang tahu sahaja yang ada maklumat bahawa agensi polan polan sedang mengumpul senarai nama syarikat untuk pakej ransangan..sila beri profail kepada sipolan atau sipolan.


Akibatnya ramai orang-orang yang tidak berkenaan mencari kontraktor kelas anu dan anu untuk diberi kepada agensi anu dan anu. Mengapa kerajaan tidak bertindak dengan telus dan mengiklan terus disurat khabar tanpa melalui proses bisik-bisik ni? Ini menyebabkan usahawan yang rajin mencari peluang macam akupun boleh terlepas peluang. Kalau malas nak iklan kat surat khabar iklan kat internet sudah lah.


Keadaan begini akan menggalakkan pacat dan lintah yang tidak pernah menjadi usahawan tetiba nak pinjam lesen pasal ada peluang dan kabel.shissssssssssshhh penat betul lah macam ni.


Thursday, June 4, 2009

Apa yang kau cari sahabat?


Apa yang kau cari wahai sahabat?

Setiap petang engkau datang bertandang

ke pelabuhan tinggal ini


Sudah tiada lagi hirup pikuk pelaut

sudah tiada lagi riuh serombong kapal yang singgah

sudah tiada lagi camar yang terbang datang

mengharap lebihan ikan sang nelayan


Pelabuhan ini pun sudah usang sekali

Jeti yang sudah mereput tidak dapat lagi berdiri

berkeriut ditiup angin yang lalu

sudah terlalu tua untuk memberi sebarang faedah kepada sesiapa

hanya kenangan tentang kemegahan

Waktu yang berlalu meninggalkan semua

Tuesday, June 2, 2009

Ekonomi yang mengecut

Akhirnya kerajaan mengakui juga ekonomi kita merudum dengan pengecutan sebanyak negatif 4.5% KDNK. Mungkin pengecutan ini tidak sebanyak Thailand (-7%) dan Singapura (-15), tetapi ia tetap satu pengecutan yang besar.

Adakah pengecutan ini akan berterusan atau ia telah mencapai paras lantai dan dijangka melantun kembali ke paras positif?. Kata Unit Perancang Ekonomi , kita akan berkembang ke paras positif pada pertengahan tahun 2010. Aku harap begitulah sebab pengecutan berterusan akan memberikan impak besar kepada situasi ekonomi hampir semua rakyat Malaysia terutama yang berada didalam lingkungan cukup-cukup makan hatta ketika ekonomi berada diparas positif.

Dengan lambakan pendatang asing dengan izin atau tanpa izin, kemasukan para graduan dan lepasan sekolah kedalam pasaran pekerjaan, jika ekonomi tidak memcatat pertumbuhan natijahnya banyak masalah sosial akan berlaku.

Namun begitu sebagai negara yang mempunyai kekayaan sumber alam yang banyak dengan jumlah penduduk yang masih rendah, aku percaya kita mungkin dapat mengatasi masalah ekonomi ini dengan reformasi program ekonomi dalaman untuk menjana pertumbuhan yang positif.

Dengan tanah terbiar yang banyak dinegara ini, mungkin satu undang-undang dapat dirangka untuk mengambil dan mengusahakan tanah terbiar yang terlalu banyak dinegara ini untuk menjana kegiatan pertanian dalam bentuk yang berteknologi tinggi dan benilai tinggi.

Kesan keruntuhan sistem kewangan dunia , disertai dengan kesan cuaca dunia yang tidak menentu dijangka akan mengakibatkan krisis makanan dunia beberapa tahun akan datang. Para perancang ekonomi negara seharusnya telah dapat merangka pelan strategik untuk menghadapi situasi sebegini.

Kita lihat beberapa negara umumnya di Asia Barat telah mengambil langkah-langkah strategik untuk mengatasi masalah ini. Melalui GLC mereka, mereka telah membeli beribu-ribu ekar tanah di Filipina, Thailand, Indonesia dan Amerika Selatan untu tujuan pertanian bagi menjamin bekalan makanan mencukupi dinegara mereka.

Bagi kumpulan usahawan ini boleh dijadikan panduan untuk merangka aktiviti strategik bagi jangka masa panjang. Walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu, makanan sentiasa mempunyai pasarannya.