bicara tentang kehidupan dari ruang lingkup seorang hamba yang serba kekurangan

Sunday, January 17, 2010

Belajar memberi dan belajar menerima

Seringkali disyorkan kepada usahawan agar 'memberi'. 'Memberi' dikatakan akan menjadi salah satu pintu rezeki . Mengapa ini dikatakan menjadi 'pintu' tiada jawaban yang khusus. Namun tindakan memberi akan menghasilkan getaran yang positif kepada pemberi dan penerima. Memberi menghasilkan berkat yang tersendiri. Pengalaman lalu juga menunjukkan sipemberi tidak akan kehilangan apa yang diberinya kerana apa yang diberinya akan kembali kepadanya dalam bentuk-bentuk lain.


Memberi dikatakan mempunyai impak positif. Ia membantu membetuk sikap toleransi, tolak ansur, empati malah ia dikatakan mempunyai nilai terapi kerana memberi dapat membantu kita mempunyai jiwa yang tenang. 'Memberi' akan menghasilkan 'kitaran' pemberian -penerimaan yang panjang dan kalau kita bernasib baik kitaran ini tidak akan putus.

Mengapakah kita perlu 'memberi'? Ini juga kita punya jawaban yang konkrit kenapa ia harus dilakukan. Selain dari ia diwajibkan oleh agama pada beberapa bab tertentu, selebihnya perlakuan 'memberi' adalah menjadi perkara sukarela. Tidak ada paksaan.


'Memberi' boleh datang dari berbagai bentuk dan rupa, ia boleh datang dalam bentuk kewangan, harta, tenaga, masa, budi, ilmu, kasih sayang dan yang paling mudah adalah senyuman. Namun dalam situasi perlumbaan yang tidak mengenal batasan masa dan tempat, kita sebenarnya lebih terdidik untuk merebut dan mengumpul sebanyak mungkin sumber-sumber alam. Perebutan perebutan ini tanpa disedari akhirnya menyebabkan kita membina satu sikap yang seolah-olah menjadi pakaian kepada kita semua. Tamak.


Kerana secara semula jadinya manusia mempunyai sikap tamak dan takut, memberi sudah menjadi sesuatu yang tidak mudah dilakukan . Tidak ramai yang ada kebolehan untuk memberi. Sudah tentu 'memberi' memerlukan satu ilmu yang tersendiri. Ini bermakna 'memberi' perlu dipelajari!

Bila ada 'memberi' mesti pula ada 'menerima'. Menerima sebenarnya amat mudah dilaksanakan. Secara amnya ia tidak perlu dipelajari?. Betulkah begitu?. Sebenarnya sebaik-baik sahaja kita menjadi penerima adalah menjadi kewajiban kita untuk menjadi 'pemberi'. Maknanya 'menerima' juga memerlukan ilmu. Ia harus dipelajari.

Pepatah Melayu berkata 'orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa'. Adat Melayu sendiri mengajar kita menjadi pemberi dan penerima yang baik. Sebenarnya lebih sukar bagi kita menjadi penerima kerana orang yang menerima ini terikat dengan suatu ikatan yang tidak boleh di untai dengan mudah.

Pantun melayu menyebut ' hutang emas boleh dibayar, butang budi dibawa mati'. Begitulah halnya dengan kehidupan ini.

Sudahkah anda 'memberi' hari ini?

Salam untuk yang memberi dan yang tahu menerima

No comments:

Post a Comment