bicara tentang kehidupan dari ruang lingkup seorang hamba yang serba kekurangan

Monday, May 11, 2009

Selamat Hari Ibu


Aku tidak pernah mengucapkan selamat hari ibu kepada ibu ku. Begitu juga dengan selamat hari jadi. Mungkin kerana aku dibesarkan dalam suasana yang tidak membudayakan itu semua. Mungkin ketika aku sedar ada hari untuk ibu, usia ku sudah menjadi terlalu lanjut untuk aku menghadiahkan sekuntum bunga dan sekotak coklat untuknya. Ketika ibu ku sudah tidak menyentuh makanan yang pada anggapannya akan menambahkan bilangan kolestrol dalam darahnya yang memang sudah banyak kolestrol itu.


Tetapi aku menyayangi dan menyanjungi ibu . Sama seperti anak-anak yang memberi ucapan selamat pada hari ibu kepada ibu-ibu mereka. Dengan segala kudrat aku, aku pastikan perbelanjaan sara hidup yang mencukupi dan aku pastikan beliau cukup segala keperluan kehidupan asasinya. Aku pastikan ibu ku tidak akan menutup mata dengan kesusahan dan kemiskinan lagi.


Ibu ku hidup dengan penuh cabaran. Anak yatim piatu pada usia seawal 10 tahun, beliau merempat dari tangan ke tangan ibu dan bapa saudara yang simpati dan prihatin dengan nasib beliau. Duduk menumpang dalam usia yang sebegitu muda dan terpaksa bekerja membantu kerja-kerja sawah dan lain -lain kerja untuk sesuap nasi. Tiada pelajaran seperti sepupu-sepupu yang ditumpanginya, kurang kasih sayang dan kurang belaian. Hidup dengan disiplin yang ketat dan tiada masa untuk menjadi kanak-kanak.


Trauma ini memberi kesan yang mendalam dalam hidupnya sehingga hari ini. Sentiasa mahu kepastian, sentiasa mahu perhatian , mudah tersinggung , terlalu mendengar cakap cakap orang , tidak tetap dalam membuat keputusan dan takut kepada sesuatu yang tidak pasti. Itu bukan kekurangan beliau, itu kesan langsung dari persekitaran kehidupan zaman anak-anakya. Itu takdirnya.


Tetapi dia membesarkan anak-anaknya dengan baik. Beliau tidak belajar parenting dari sesiapa. Naluri keibuanya memastikan beliau menjaga anak-anak dengan semampu yang boleh. Membesarkan keluarga dalam kemiskinan di Kuala Lumpur bukan kerja mudah. Membesarkan anak-anak dalam persekitaran ibu kota ketika wabak penagihan dadah berleluasa di KL pada tahun 70an amat sukar. Aku membesar dengan tidak menjadi perokok. Itu kerana keazaman ibuku untuk memastikan anaknya tidak terjebak dalam penagihan dadah! Ketika itu, sepupuku (kini arwah) , pada satu masa dalam kehidupannya seorang komposer terkenal, sudah terlibat dengan penagihan dadah.


Bekerja sebagai orang gaji Mat Salleh selama 10 tahun membolehkan dia memahami BI dan boleh berkomunikasi BI dengan tahap yang mencukupi untuk beliau melaksanakan tugasnya. Walau pun tidak disekolahkan dengan tetap, beliau boleh membaca dan menulis jawi dan rumi dengan baik.


Aku membesar sebagai anak yang memberontak. Banyak melawan dan suka bertengkar dengannya. Mungkin kerana aku anak lelaki tunggal, aku dikawal dengan begitu ketat. Mungkin kerana pendedahan generasi yang berbeza, aku melihat kehidupan dengan lensa yang berbeda. Aku mengukur kehidupanku dengan kayu ukur yang berlainan.


Aku mula memahami hakikat kehidupan apabila mula bergelar ayah pada usia 27 tahun. Waktu itu aku menyedari bahawa dia telah menjadi ibu yang baik bagi ku. Aku tidak lagi memandang pada kelemahannya kerana takdir hidupnya yang terlalu sukar. Aku memandangnya sebagai seorang hamba Allah yang telah menjalani kehidupannya dengan redha. Aku tidak lagi mengeluh dengan kerenahnya, kerana bagi aku, setiap saat kehidupanya adalah rahmat TUHAN kepada ku.


Sekalipun aku tidak mengucapkan selamat hari ibu buat mu, aku menyayangi mu mak....




Thursday, May 7, 2009

Major Attributes of Good Leader

Excerpt from Think and Grow Rich by Napoleon Hill;

The Major Attributes of Leadership;
1. Unwavering Courage based upon knowledge of self and of one's occupation. No follower wishes to be dominated by a leader who lack self confidence and courage.

2. Self Control. The man who cannot control himself can never control others.

3. A keen sense of justice. Without a sense of fairness and justice no leader can command and retain respect of his followers.

4. Definiteness of decision. The man who waivers in his decision, shows he is not sure of himself. He cannot lead ohers successfully.

5. Definiteness of plans. The successful leaders must plan his work and work his plan. A leader who move by guesswork without practical definite plan is akin to a ship without rudder.

6. The habit of doing more than paid for. One penalties of leadership is the necessity of willingness, upon part of the leader to do more than he requires of his followers.

7. A pleasing personalities. No slovenly, careless person ca become a successful leader. Leadership call for respect. Followers will not respect a leader who does not grade high on on all the factors of pleasing personality.

8.Sympathy and understanding. the successful leaders must sympathy with his followers and understand their problem.

9. Mastery of detail. Successful leader call for mastery of details of the leader's position.

10. Willingness to assume full responsibility. Leaders must be willing to assume resposibility for the mistake and shortcomings of their followers.

11. Cooperation . Successful leader must understand and apply the principle of cooperative efort and be able to induce his followers to do the same. Leadership calls for power and power calls for cooperation.

I'd like to add one more. Vision. Leader must know where he is taking his followers and has clear objectives of what to be achieved .

Wednesday, May 6, 2009

Usahawan dan Wang


Salah satu cabaran dan sekaligus menjadi godaan utama seorang usahawan ialah WANG. Kertas beragam warna dan bentuk yang mempunyai kuasa untuk menyerlahkah sisi sebenar seorang manusia.


Azizi Ali dalam temuramah dengan Sunday Star Ahad lalu ada menyatakan Wang adalah merupakan 'amplifier' kepada sisi sebenar manusia. Jika seseorang itu tamak, WANG akan menjadikanya LEBIH tamak. Jika sesorang itu penipu, WANG akan menjadikannya penipu yang lebih BESAR. Jika sesorang itu baik WANG akan menjadikanya lebih BAIK. Begitu halnya kuasa WANG.


Seorang usahawan sering akan menghadapi saat begini dalam hidupnya. Manakan tidak, jika dia mendapat kerja bernilai 1 juta contohnya, WANG berjumlah 1 JUTA akan masuk melalui akaunnya. Jika beliau bukan seorang yang amanah maka beliau boleh sahaja membaham 1 juta tanpa membayar pembekal dan sub kontraktor beliau. Sekelip mata beliau sudah menjadi JUTAWAN!.


Namun sepanjang perjalanan aku, tak ramai orang begini yang aku temui. Ramai yang akan hanya mengambil apa yang hak baginya. Pun begitu ada juga makhluk yang jiwanya sakit yang akan dengan selamba membawa lari WANG yang bukan haknya untuk kemewahan sendiri-sendiri. Pada mereka biar anak orang lapar asal anak mereka kenyang. Ada juga yang bermegah dengan kereta mewah sedang pembekal dan sub kontraktor mereka bertungkus lumus untuk hidup. Pada orang seperti ini membayar hutang sama macam nak tercabut nyawa layaknya.
Kisah WANG tidak akan habis kalau nak diceritakan.
Kepada yang tak pernah tengok berapa banyak jumlah 1 TRILLION WANG (klik sini)

Tuesday, May 5, 2009

Bicara Sepi (untuk teman yang jauh diperantauan)


Seringkali dia bertandang
ke rumah yang usang dan terbiar ini
sekalipun tiada sesiapa lagi yang menghuni
pondok tinggal yang hampir menyembah bumi
bukan ada sesiapa yang dicari
kerana tiada apa lagi yang membawa erti kini



Dia amat mengerti hakikat itu
Namun tetap ia bertandang bila ada waktu
Kerana hanya dia yang tahu
nilai semua yang telah berlalu
Dia tak mampu memutar kembali waktu


Menyusuri lorong-lorong
yang pernah melakar warna bahagia
satu titik dalam kehidupan yang panjang
ada cinta yang mewarnai hati
ada pelangi indah yang membalut janji
Hanya senyum yang difahami diri



kala hidup tiada memberi pilihan
untuk memilih kehidupan
saat takdir memberi gurauan tragis
merentap kejam angan dan azam



kini dia kembali
menyusuri lorong -lorong ini
mengimbau kembali memori
yang tersangkut dipohon mawar
yang penuh duri

Monday, May 4, 2009

Salam buat sahabat yang terlena

Aku ingin menyampaikan salam
kepada sahabat ku yang masih terlena
dibawah tempurung kecilnya.

Aku ingin dia menjengukkan kepala
keluar tempurungnya
lihatlah dunia yang berlalu pergi
meninggalkan manusia yang lali
tidak sekali-kali ia menunggu kita
tidak sekali-kali ia mempunyai masa
untuk tidur lena

Kita boleh sahaja menipu dunia
sekalipun dunia tidak pernah terpedaya
dengan helah , alasan atau apa-apa cerita sedih kita
dunia sudah masak dengan helah manusia

Tempurung kecil itu
adalah ilusi kehebatan diri
halusinasi zon selesa
yang akhirnya meracun kita

Keluar dan lihatlah dunia
Selamilah lautan
Terokailah lembah dan gunung
terbanglah ke angkasa

kerana usia kita
terlalu pendek
untuk terkurung dibawah tempurung

Sunday, May 3, 2009

Selamat Hari Pekerja

Mungkin belum terlambat untuk mengucapkan selamat kepada pekerja-pekerja semua. Sekalipun aku kini bergelar majikan, tetapi aku juga pernah berkerja dan kinipun aku masih bekerja. Aku bekerja untuk organisasi yang memberi aku kerja!

Sewaktu aku belajar 'kelakuan organisasi' dahulu, aku belajar mengenai pekerja yang mempunyai personaliti X dan personaliti Y. Mana-mana yang tak tahu teori X dan teori Y (klik kat sini).

Sepanjang perjalanan aku sebagai pekerja bawahan, penyelia, pengurus dan kemudiannya majikan aku banyak bertembung dengan kedua-dua personaliti ini. Dan pengalaman aku juga menunjukkan yang pekerja personaliti Y ini akan akhirnya menjadi usahawan. Pekerja X? yang ini akan menghadapi banyak masalah dalam kehidupanya.

Tetapi teori X dan Y ini bukan sesuatu yang rigid. Manusia tidak berada secara tetap didalam X atau Y. Mereka berada diantara keduanya. Seseorang manusia memerlukan satu pacuan (drive) , satu faktor yang menyebabkan ia mengubah tingkah laku dan hala tujunya hidupnya.

Aku? pacuan aku adalah kemiskinan hidupku. Membesar sebagai anak kaum pekerja yang miskin dan bersekolah di mana terdapat anak-anak kaum bangsawan dan pemodal membuat aku mengerti hakikat betapa aku perlu membawa keluarga ku keluar dari kemisinan yang mencengkam ini.

Aku masih jauh dari sasaran ku.Masih jauh. Tetapi sekurang-kurangnya anak-anak aku tidak dibelenggu oleh kemiskinan itu. Cuma aku harap mereka mempunyai motivasi yang cukup untuk bersaing dan pergi lebih jauh.

Friday, May 1, 2009

Mengapa Takut Dengan Persaingan?

Syarikat aku telah dipanggil untuk sebut harga tertutup oleh sebuah GLC. Kebetulan salah seorang rakan aku yang juga kontraktor dipanggil untuk masuk sebut harga tersebut. Aku dapat tahu hal tersebut sewaktu minum teh dengannya sehari sebelumnya. Untuk menjimatkan, aku cadangkan yang kami pergi lawatan tapak dengan sebuah kereta sahaja. Aku offer untuk drive ke tapak. Dia pun setuju. So off we went to the site visit.
Sesampainya disana ada tiga lagi kontraktor. Aku andaikan yang semuanya dipanggil untuk sebutharga yang sama. Yang menariknya salah seorang kontraktor yang hadir tu kenalan lama kami ( aku dan rakan aku tadi) . Kami sama-sama membesar di Keramat. Melihat dia aku dengan gembira menghulur tangan ku "Site visit?" tanya aku. Tetapi aku aku lihat dia kelihatan gelisah dan tidak senang. "Takkan kat sini pun kau ada?" dia bertanya tanpa menyambut huluran tangan aku . Gayanya solah-olah tidak senang dengan kehadiran kami.
"Eh biasalah bang, sama -sama cari makan, mana ada lubang mestilah kita datang" kata ku. Dia tidak menghiraukan aku dan berganjak kearah pegawai GLC yang akan memberi taklimat tapak yang kelihatan baru sampai.
Sebaik habis taklimat aku mempelawa kenalan lama tadi untuk minum tetapi dia menolak kerana ada hal katanya. Tetapi sebelum bergerak sempat dia bertanya "kau dan mail (rakan yang datang besama aku) pakat ke?". "Eh taklah, kan GLC panggil 5 kontraktor, nak pakat macam mana?" kata aku. So, kami beredar dan aku ingat kes ini tamat disitu.
Esoknya ketika aku datang nak membeli dokumen tender, pegawai yang menjual tender tersebut, sebaik mengetahui nama syarikat aku bertanya "awak dan syarikat ABC berpakat untuk masuk tender ni?" tanyanya. Ahh sudah...aku pun ambil sedikit masa untuk menerangkan perihal keadaan sebenar. Hakikat bahawa ada 3 lagi kontraktor dan perihal GLC ini selalu memilih kontraktor yang menawarkan harga terendah, tidak memungkinkan kami untuk berpakat melainkan kelima-lima kontraktor berpakat. Pegawai tersebut berpuas hati.
Tetapi yang menjadi tanda tanya aku ialah dimana pegawai ini tahu yang aku dan syarikat ABC datang satu kereta melainkan jika tidak mendapat maklumat dari kontraktor yang lain. Ini menyebabkan aku tertanya apa yang menjadi ketakutan mereka?
Aku sebenarnya tidak pernah menanggap usahawan lain sebagai saingan yang aku perlu jatuhkan. Sebaliknya aku menggap mereka saingan yang perlu aku belajar darinya dan itu menyebabkan aku suka berkawan sesama usahawan tanpa perlu rasa terancam. Rezeki masing-masing sudah tertulis, yang perlu adalah untuk kita terus berusaha dengan cara kita sendiri.
Bagi aku seseorang usahawan berjaya kerana persaingan. Perniagaan ini sendiri diasaskan atas dasar persaingan untuk mencari dan menjadi yang terbaik. Hanya kerana aku pesaing tidak semestinya kita tidak boleh minum teh semeja. Rugilah..lagipun aku belanja.