bicara tentang kehidupan dari ruang lingkup seorang hamba yang serba kekurangan

Wednesday, October 28, 2009

Bila kita menilai hidup dari ukuran keuntungan...

Ini sesuatu yang sering dilakukan oleh kita semua orang secara sedar atau tanpa sedar. Pada setengah orang ia memang menjadi tabiat, pada setengah yang lain ia menggambarkan persepsinya kepada sesuatu hal yang dianggap tidak melayakkan hal tersebut mendapat perhatian atau layanan sedemikian rupa.

Pernahkah kita dengar tentang seorang komposer yang isterinya mati akibat lelah dahulu? Isterinya menghidap lelah yang kronik. Kalau menurut kemampuan beliau, beliau mampu menghantar isterinya ke hospital kelas pertama, namun isterinya cuma di hantar HKL!. Bukan hendak menuduh bahawa HKL tidak bagus tetapi sebagai menghargai isteri dan memandangkan kita berkemampuan mengapa tidak dihantar ke hospital yang selayaknya untuk isteri yang telah banyak berkorban untuk kita.

Seorang ibu tunggal yang bertungkus lumus membesarkan 6 anak menghidap penyakit lelah sejak sekian lama. Sewaktu aku kecil aku sering membeli nasi lemaknya dalam perjalanan ke sekolah. Setelah sekian lama aku bertembung dengannya yang membuka restoran berhampiran pejabat aku. Ibu ini dengan anak-anaknya telah berjaya dalam perniagaan restoran. Dalam perkiraan aku yang memang suka mengira jualan perniagaan orang lain ni, pendapatan restorannya mencecah rm 5 ribu sehari. Ini bermakna pendapatan kasar restoranya rm 150 ribu sebulan ( mereka beroperasi 7 hari seminggu) . Jika diambil margin keuntungan 30% pun aku rasa pendapatan mereka hampir 45ribu sebulan. Anak2 beliau semua mempunyai kereta yang canggih, dari BMW, Wish, sampailah ke kelisa dan MyVi.

Satu hari restoran ini restoran ini tutup 3 hari berturut-turut. Curios aku pun bertanya kepada anak beliau mengapa restoran tutp sampai 3 hari . Jawaban anaknya ibu mereka tenat dan berada dihospital sedang koma. Hospital mana? tanya aku. HKL jawabnya!. Laa..apasal tak hantar Ampang Putri tanya ku (Mereka tinggal di Ampang) komen aku . Mahal! jawabnya ringkas....

Seorang suami yang menatang isterinya bagai minyak yang penuh pula menghadapi masalah berlainan, akibat beberapa hal nama telah disenarai hitam oleh bank. Beliau terpaksa menjalankan perniagaan menggunakan nama isteri yang tidak bekerja. Perniagaannya cukup makan walau pun sederhana. Suatu hari beliau menyuarakan hajat untuk meminjam simpanan isteri bagi membeli rumah buat ibunya. Cuma 30 ribu sahaja. Itu pun wang yang beliau sendiri kumpul dari perniagaannya. Namun isterinya menolak 'Kalau awak mati siapa nak bayar?' katanya....

Begitulah apabila kasih dan cinta diukur dari untung dan rugi. Kasih dan cinta hanya apabila ada kuntungan yang boleh diperolehi. Kasih dan cinta menjadi tiada harga apabila tiada untung yang dapat dimiliki. Keihlasan dan ketulusan sudah mati...

Cinta yang sebenarnya masih ada. Masih banyak. Namun cinta yang luhur ini sering dipandang sebagai murah dan mudah. Sehinggalah cinta itu hilang dari pandangan mata . Hilang dari dunia. Ketika itu adakah nilai kepada kasih sayang tulus seorang ibu /ayah? seorang isteri/ suami?




Sunday, October 25, 2009

Berhadapan dengan 'impossible client'

Salah satu 'hazard' menjadi usahawan adalah apabila kita berhadapan dengan pelanggan yang terlalu cerewet, tak reti bahasa, tak menggunakan 'common sense' dan paling sakit hati adalah mempunyai sikap tidak bertimbang rasa.


Dalam 2 minggu ini kepal haku hagak fening sebab aku kini sedang menyiapkan kerja huntuk pelanggan yang pada aku tidak mempunyai 'common sense'.

Jauh disudut hati aku sentiasa ingat yang apa-apa yang tuhan timpakan kepada aku mempunyai hikmah tersembunyi. Cuma buat masa ini haku belum nampak hikmatnya aku bertembung dengan manusia yang macam ni.

Alkisah aku mendapat satu tugas untuk mengubah suai sebuah sekolah rendah diibu kota. Kerja tidaklah banyak dan nilainya kecil sahaja. Ketika aku mula-mula mendapat arahan JPWP untuk pergi menemui Guru Besar sekolah ini dan bertanya apa bentuk penambahbaikan yang perlu, buat ukuran dan hantar sebutharga kepada JPWP. Kerjanya adalah membina satu bilik Guru Besar yang baru dan 3 bilik Guru PK dan satu pejabat kecil. Sebutharga aku berdasarkan permintaan awalnya juga. Hal ini bukan bleh diubah-ubah sesuka hati.

Episod duka bermula setelah aku mendapat LO dari JPWP dan apabila aku melapor diri untuk memulakan kerja, Guru Besar telah menukar fikiran dan kerja yang diminta aku buat lebih besar skopnya dari yang mula mula diberitahu ketika aku membuat ukuran!. Perkara macam ni biasa aku temui dikalangan pegawai kerajaan. Aku cuba menangani secara berdiplomasi dan cuba mencari jalan tengah. Mana yang boleh aku 'absorb' aku buatlah. Guru besar menukar spesifikasi untuk biliknya dari cat biasa ke wall paper (cat biasa RM 8 semeter persegi, wall paper RM23 semeter persegi, bayangkan berapa banyak kos lari) , tambahan settee tetamu, tambahan tingkap, satu bilik mesyuarat baru yang sama besar dengan biliknya dan dan berbaga-bagai lagi permintaan. Seolah-olah kami ini dihantar untuk memenuhi semua impian hidupnya dengan kos sekecil itu.

Namun hari ke hari kerenah Cikgu ni jadi makin teruk. Hari ini minta aku buat lain, esok bagi arahan pada pekerja aku untuk buat lain. Aku telah memberi arahan jangan buat selain apa yang aku arahkan. Namun semalam GB ini memberi arahan kepada penyelia aku yang dia hendak kami membuat ubahsuiai di bilik pejabat sedia ada pula sebab kerani komplen bilik mereka hodoh!.

Dilemmanya kepada orang seperti kami ini adalah jika kami berhenti menjalankan kerja sehingga hal-hal seperti ini diselesaikan adalah, kami mungkin disenarai hitam kerana tidak menyiapkan kerja dan yang paling sakit adalah kos modal sangkut kerana bayaran akan digantung hingga kerja-kerja diselesaikan. Dan GB ini tahu jika dia tidak memperakukan kerja-kerja aku, aku mungkin tak dapat payment!.

Seboleh-bolehnya aku tidak mahu melihat dari sudut selain dari yang positif. Aku harap ada sesuatu yang positif akan lahir dari episod sebegini.

Salam

Thursday, October 22, 2009

Wujudkan Pengkalan Data untuk Pesalah Seksual Di Malaysia

Dengan bertambahnya kes penderaan seksual di Malaysia, mungkin sudah sampai waktunya negara ini mempunyai pankalan data pesalah seksual yang boleh dijadikan rujukan olah masyarakat.

Kita tidak anak-anak dan kaum wanita kita yang tidak bersalah menjadi mangsa binatang-binatang buas yang bertopengkan manusia. Pesalah-pesalah seksual ini bukan datang darui hanya satu profail manusia malah datang dengan berbagai-bagai ragam. Malah banyak yang bila pergi ke mahkamah semua memakai kopiah. Ada apa dengan kopiah? nak menunjukkan alim?

Mungkin juga perogol perogol ini perlu dikasi macam dan leher mereka dipakaikan rantai macam anjing. Mungkin juga perlaksanaan hudud untuk perogol ini perlu dilaksanakan.

Salam untuk semua.

Monday, October 19, 2009

Apabila Allah mendatangkan ujian....

Baru kembali dari menziarah seorang teman yang sedang mendepani ujian Allah yang hebat.

Anak bongsu teman ini yang berumur 11 tahun sedang terlantar di hospital dalam keadaan koma. Kemungkinan untuk anak ini pulih adalah sangat tipis. Menurut ceritanya anaknya dalam keadaan biasa-biasa sahaja pada hari kejadian. Selaps maghrib anak ini minta makanan , sebelum memberitahu untuk masuk tidur. Tidak berapa lama selepas masuk bilik anaknya mengahadapi kesukaran untuk bernafas dan dalam masa yang sangat singkat badannya bertukar biru. Teman ini bergegas menghantarnya ke hospital. Doktor memberitahu bahawa anaknya sudah tidak bernafas ketika sampai dihospital, namun teknologi moden membolehkan anaknya bernafas secara artifisal. Dalam 2-3 hari ini doktor akan menanggalkan peralatan pernafasan untuk melihat sama ada anak ini boleh bernafas sendiri. Jika tidak boleh maka teman akau akan diminta membuat keputusan seterusnya.

Punca bencana ini tidak dapat dipastikan. Pada mulanya doktor menyangka H1n1 namun ujian dari IMR negatif. Mungkin ada virus lain. Hospital sedang menjalankan ujian lanjut.

Aku menahan airmata ketika beliau memanggil nama anaknya secara perlahan-lahan. Getaran suara seorang ayah yang menahan gelodak perasaan melihat anak terlantar kaku. Dia tidak menampakkan kesedihan namun disebalik airmuka yang tenang itu tersembunyi kesedihan yang teramat.

Tidak ada simpati dan kata-kata pujukan yang mampu menenangkan kegundahan itu. "Tolong doakan anak aku" katanya. Aku hanya dapat mengangguk tanpa sebarang kata.

Demikian apabila Tuhan menguji hambanya. Di ambilnya apa-apa yang kita rasa milik kita sedangkan hakikatnya semua adalah miliknya. Namun bagi seorang insan yang lemah, untuk melepaskan sesuatu yang sangat bernilai kepada dirinya malah melebihi nyawanya bukan sesuatu yang mudah. Mungklin demikian juga perasaannya apabila Nabi Ibrahim menerima perintah dari Allah.

Sekembali kerumah aku tidak mampu menjamah nasi sekalipun aku belum makan tengah hari. Tertanya-tanya dalam diri..kuatkah aku? mampukah aku jika aku yang menerima ujian ini?...

Subhanallah..mahasuci engkau yang memilik sekian alam..jika engkau menguji ku, kuatkanlah iman ku....

Saturday, October 17, 2009

Ukur Baju di Badan Sendiri...

Minggu-minggu terakhir di bulan Syawal ini banyak rumah terbuka dibuat serentak, maklumlah minggu terakhir raya (walaupun raya sebenarnya 1 hari sahaja), kalau buat raya dibulan Zulhijjah kelakolah pulak...

Dah jadi trend sekarang ni, kalau ada rumah terbuka yang terbuka (maknanya dibuat diluar rumah dengan khemah) pasti ada sesi karaoke. Mungkin dah terkeluar dari tujuan asal menyambut hari raya, tapi begitulah yang terjadi trend sekarang ini. Orang yang tak berapa nak puasa akan menyambut hari raya lebih dari yang berpuasa penuh.

Masalah aku dengan sesi karaoke ini adalah dengan pengunjung yang suaranya tak berapa nak masyuk tapi perasan pulak macam Jamal. Dok balon lagu tak putus-putus sampai tersedak-sedak.

Aku berkeriut muka tiap kali penyanyi menarik suara. Pecah gegendang telinga aku mendengar orang macam ni menjerit. Nak ditegur kang takut berkecil hati...

Dalam hidup ini kita perlu realistik, kalau dah tak boleh menyanyi atau suara cukup-cukup makan je eloklah menjerit kat bilik karaoke yang tertutup lengkap dengan dinding sound proof supaya tak menganggu orang lain.

Ni makcik-makcik yang masa muda dulu kempunan tak dapat masuk AF pun turut serta menyumbangkan suara yang sumbang tambah lagi seksa orang keliling.

salam pada katak-katak dikolam...

Thursday, October 15, 2009

Berdosakah kita membina kekayaan?

*******gambar hanya ilustrasi sahaja


Ini bukan blog politik dan aku ingin mengekalkanya begitu. Ini blog tentang kehidupan seorang entrepreneur, namun tak dapat tidak kita tetap akan bertembung dengan poltik kerana dunia politk amat dekat dihati umat Melayu. Betulkah orang-orang melayu mempunyai mentaliti terkepung seperti yang dikhabarkan oleh Khairy Jamaludin?


Sepetang yang lalu aku dan rakan kongsi aku dalam perjalanan pulang dari Sabak Bernam setelah menyiapkan kerja-kerja kecil lanskap untuk seorang pelanggan. Walaupun sudah lama tidak berkecimpung dalam bidang ini, namun sentuhan lama masih ada. So far they all happy with the end result.


Ketika hampir sampai ke pejabat, kami singgah untuk mengisi minyak di Hulu Kelang. Kebentulan dibelakang stesen ini, ada sebuah rumah banglo yang sedang diubah suai secara besar-besar. Dari sebuah rumah satu setengah tingkat ditambah dengan bangunan tiga tingkat.


"Kalau orang UMNO yang buat rumah macam ni dah tentu-tentu kena tuduh rasuah!" ngomel rakan aku. Aku yang tercengang-cengan menoleh kearah beliau. "Tu.." beliau menjuihkan mulut kearah bangunan hebat ini. Nah ada bendera PAS dan PKR tegak megah ditengah-tengah laman rumah hebat ini.


"Berdosakah jika orang Melayu membina kekayaan?" tanya ku. "Tidak lansung...hanya orang UMNO yang berdosa membina kekayaan.." jawab teman aku secara sarkastik..aku faham kerana itulah stail beliau berhujah.


"Orang UMNO kena duduk kat PPR je...orang lain tak pe...tak payah tanya dimana punca kekayaan mereka..semua halal je.." komennya lagi.


Perbincangan kami terhenti disitu tetapi ia telah menyebabkan aku berfikir tentangnya sepanjang petang. Tentang sikap segelintir Melayu yang mempunyai sentimen begitu apabila kumpulan yang tidak disokongnya mengumpul harta tetapi tidak bertanya soalan yang sama jika kumpulan sendiri secara terang-terang menunjukkan kemewahan melampui keupayaan kewangannya.

Sebenarnya sikap yang diamalkan oleh orang Melayu terhadap pihak yang tidak sehaluan dengan mereka baik UMNO,PAS atau Keadilan sendiri adalah sangat destruktif. Banyak contoh yang boleh kita bahaskan tetapi percayalah kata aku, aku tidak pernah percaya bahawa ahli politik baik dari PAS (yang sepatutnya lebih zuhud), atau PKR ( sapu depan belakang) atau UMNO ( semua balon) tidak mengumpul harta baik cara baik atau cara gelap. Aku sudah cukup lama dalam bidang ini untuk membuat kesimpulan ini.

Lihatlah pendokong PAS atau PKR yang tidak sampai setahun memerintah, sudah boleh memandu Harrier, Mercedes, BMW, TOYOTA dll. Tak ada siapa bertanya bagaimana ini semua diperolehi..namun aku jangkakan menjelang PRU akan datang mereka banyak antara mereka akan jadi seperti UMNO yang mereka amat benci itu.

Soalan aku sebenarnya berdosakah kita mengumpul harta kekayaan? Jawabanya tentulah tidak, jika kita mengumpul harta dengan jalan yang betul. Apakah maksud jalan yang betul? menjadi broker projek jalan yang salah atau betul? Sebab banyak orang PKR dan PAS dah jadi broker projek sekarang ini. atau ia hanya salah jika orang UMNO yang melakukanya?

Bagaimana dengan mendiskriminasi usahawan yang tidak dari satu aliran? Sebab sekarang ini sebuah kerajaan negeri mewajibkan apabila hendak membeli tender mereka perlu mendapat pengesahan dari Adun mereka dahulu baru boleh membeli tender. Ini belum pernah dilakukan oleh kerajaan BN.

COMPETENCY, ACCOUNTABILITY, TRANSPARENCY???...NAMPAKNYA SLOGAN INI HANYA DI LETAK DIDALAM BOTOL KACA.

Tuesday, October 13, 2009

Kasih Yang Pergi- untuk teman yang kehilangan

Telah tertutup sudah sebuah kisah kasih ini
Telah berakhir semua suka atau duka atau apa yang ada
diantara keduanya
Tiada lagi kesakitan atau keseronokan dunia yang dapat dirasainya
Ruang dan waktu terhenti disini

Mulai saat ini, dia hanyalah secebis memori
yang mengisi selembar waktu dalam catatan kehidupan mu
Mulai saat ini dia hanyalah sebuah gambaran dalam jaringan ingatan
yang akan semakin luput oleh waktu
Mulai saat ini dia hanyalah sekadar sepotong ayat


Sekalipun engkau tidak mengizinkan kepergiannya
Engkau tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan jadual kehidupannya
yang telah tertulis dengan rapi di Lohul Mahfuz
Bahawa semuanya tidak akan terlambat atau tercepat walaupun sesaat

Sekalipun engkau punya seribu kekesalan
Dia sudah tidak dapat mendengarnya lagi
Sekalipun engkau penuh kerinduan
Ia sudah tidak bermakna baginya
Sekalipun engkau masih ada banyak kasih sayang
Ia telah tersisa
Sekalipun masih ada banyak lagi yang belum dilakukan untuknya
Ia sudah menjadi tidak perlu


Kepergian mungkin satu kesedihan kepada yang tinggal
Namun kepada yang pergi ia mungkin sesuatu yang dinanti
Terbebas sudah sang pengembara dari sangkar yang mengurung jiwa

Sekalipun kepergian ini diratapi
Yang pergi sebenarnya tidak pernah mati!

Salam untuk yang masih meratap.....


Tuesday, October 6, 2009

Mendepani Realiti Kehidupan

Satu hakikat yang pasti dalam kehidupan adalah kita tidak akan mampu memiliki semua yang kita inginkan. Dalam mengejar kehendak-kehendak kehidupan , kita akan dibatasi oleh beberapa faktor yang tidak mengizinkan semua kehendak kita. Sekuat manapun kita mencuba, sehebat manapun kekuatan ihktiar kita, yang menentukan semua dalam kehidupan kita adalah yang ESA. Semua ini di rangkulkan dalam apa yang dinamakan helaian-helaian takdir hidup kita. Semuanya telah tertulis di Loh Mahfuz.

Namun adakah itu menjadi penyebab untuk kita tidak berusaha? Adakah itu menjadi alasan yang kuat untuk hanya berdiam diri? Adakah semuanya salah takdir? Semuanya kehendak Allah? lalu kita berhenti berIKHTIAR?

Sewaktu belajar ilmu tauhid dahulu aku diperkenalkan oleh orang tua ku tiga bentuk pegangan manusia tentang takdir hidupnya.

1. Iktikad Jabariah yang berpegang kepada segalanya telah tertulis, maka manusia tidak mempunyai apa-apa sumbangan atau kesan kepada takdir hidupnya. Manusia ini umpama bulu ayang yang ditiup angin. Tidak berkuasa ia menentu arah jatuhnya.

2. Iktikad Muktazilah yang berkata sebaik sahaja Tuhan menjadikan manusia ke dunia, Tuhan tidak memainkan apa-apa peranan lagi dalam takdir hidup manusia tersebut. Manusialah yang menentukan melalui pilhannya sendiri arah tuju hidup manusia tersebut. Jika manusia gagal dalam kehendaknya itu adalah kesilapan ikthiar manusia itu sendiri.

3. Iktikad Ahlul Sunnah Waljamaah yang berpegang kepada manusia mempunyai kuasa untuk beriktiar memalui akal dan semua deria yang diberi tuhan. Tetapi TUHAN yang menentukan hasil ikhtiar manusia kerana TUHAN yang maha mengetahui.

Dalam perjalanan aku meniti kehidupan ini, aku bertemu dengan manusia yang memegang cabang-cabang iktikad diatas. Sekalipun mereka tidak mengetahuinya, melalui pegangan dan cara fikir mereka kita akan tahu apa bentuk iktikad mereka.

Ada manusia yang hanya berserah pada nasib semata-mata tanpa mahu melakukan apa-apa tindakan yang boleh menjadi ikhtiar dalam menentukan nasib mereka. Mereka redha dengan apa yang menimpoa mereka tanpa soalan, tanpa pertanyaan.

Ada manusia yang mengambil pendekatan matlamat menghalalkan cara sebab kepada mereka Tuhan tidak menjadikan kehendak mereka sebagai kenyataan jika mereka sendiri tidak memastikan kehendak mereka menjadi!

Ada yang bersederhana diantara keduanya.


Tulisan ini bukan untuk berbahas tentang nilai positif atau negatif tentang pegangan iktikad2 diatas. Ia telah dibahaskan oleh ulamak2 zaman berzaman. Cuma dalam kumpulan manusia yang terlibat dalam keusahawanan, pegangan mereka lebih banyak kepada pegangan muktazilah dan ahlul sunnah. Jarang yang aku jumpa usahawan yang hanya berserah kepada nasib dan takdir.

Kebanyakkan usahawan terkenal dengan sikap suka berikhtiar. Kalau kita bercakap dengan mereka macam-macam idea perniagaan yang kadang-kadang kita tidak terfikir pun boleh dizahirkan oleh mereka. Dari manakah iktiar itu keluar. Dari akal!.

Yang paling menarik adalah hakikat bahawa akal sudah diberi tuhan sewaktu kita lahir lagi. Jadi gunakanlah ia. IA PERCUMA!!!.

Berbalik kepada para pertana entri aku tadi bahawa tidak semua perkara yang kita inginkan akan kita miliki. Ini adalah hakikat bahwa TUHANlah yang menentukan hasil ikhtiar kita. Semua ketentuannya adalah yang terbaik untuk kita.

Satu ketika dalam kerjaya keusahawanan aku, aku ditakdirkan tertipu. Aku berasa seoalah-olah takdir tidak menyebalahi aku dengan semua ikhtiar yang telah aku lakukan. Aku berasa dunia tidak berlaku adil sebab ada pihak mendapat hasil yang sangat lumayan dari perkongsian dan ikhtiar aku.

Tiga tahun berlalu, kini aku mendapat perspektif baru. Tuhan mentakdirkan yang terbaik buat ku. Yang aku sangkakan bala rupanya adalah hikmah yang sangat tidak ternilai. Bukan sahaja aku mendapat kembali apa yang aku hilang, melalui ikhtiar lain, tetapi aku menemui diriku. Aku tahu keupayaan ku. Tuhan memberi aku sahabat yang lebih baik bagi ku. Untuk itu aku amat bersyukur.

Sebab itu blog ini dinamakan ikhtiar hidup. Manusia perlu berikhtiar untuk meneruskan kehidupannya. Tetapi hakikatnya tuhan yang menentukan semuanya. Ketetntuanya pula adalah yang terbaik untuk kita.

Salam...

Thursday, October 1, 2009

Usia dan waktu yang semakin dekat.

Dalam usia mencapai pertengan abad ini, ada beberapa perkara yang pasti akan menjengah kita yang kita tidak pasti bila akn sampainya namun tetap juga ia akan menjengah kita. Penyakit dan kematian!

Dalam kesibukan mengejar dan membina kehidupan ini sesekali ada juga terfikir bila kah masanya? Bagaimanakah ia datang menjengah? apakah sudah bersedia untuk mendepani hakikat tersebut ? dan apa yang bakal terjadi kepada yang ditinggalkan?

Dengan bilangan usia yang semakin meningkat. Banyak yang belum dicapai , banyak lagi yang belum di buat namun masa semakin laju perginya. Sedar -sedar sudah hampir menjangkau 45 tahun usia ini Januari tahun hadapan. Sudah jauh usia meninggalkan diri namun masih terlalu banyak yang perlu dicari.

Dalam kesibukan itu dengan tiada kita sedar penyakit-penyakit sudah mula menghinggapi tubuh badan kita. Tanpa kita sedar dan tanpa kita ambil kesah!. Perlahan-lahan ia akan memamah tubuh dan sistem badan kita dan mungkin (kalau tidak ada sebab lain) akan menjadi penyebab untuk kita menemui Sang Pencipta.

Al kisahnya, sewaktu Ramadhan yang lalu, ketika singgah di Farmasi aku mengambil kesempatan untuk membuat ujian glukos dan kolesterol aku. Hasilnya memeranjatkan ( walaupun sebenarnya secara hakiki aku sedar waktunya akan sampai). Paras gula aku sudah melepasi paras normal dan kini berada didalam Zon Diabetik! Kolestrol agak normal.

Kegemaran aku dengan sebarang kuih muih yang ada gula melaka/gula kabong, terutama sago gula melaka kini harus dikawal bah. Aku sudah perlu mengubah gaya hidup untuk mensesuaikan dengan keadaan tubuh tua aku yang dah tak boleh memproses gula dengan baik.

Pun begitu aku bernasib baik kerana mengesan gejala ini diperingkat awal, kerana aku belum mengalami simptom-simptom diabetik seperti turun berat badan, kencing malam yang kerap atau kehausan yang kronik. Cuma yang aku perasan bila aku lapar badan aku menggigil. Ini mungkin akibat paras gula yang terlalu rendah didalam badan. Rugilah belum sempat aku kaya raya dah badan aku pulak buat hal.heheh.

Ada seorang kawan aku, sebaik jadi jutawan, jantung buat hal. Laa ni hidup dengan pacemaker! nasib-nasib....